Kuasa Singapura terhad – Nelayan kita kini bebas memasuki Middle Rocks selepas 22 tahun dihalang

THE HAGUE, Belanda 24 Mei – Nelayan-nelayan di Johor terutamanya di kawasan Pengerang yang dihalang selama 22 tahun daripada mendekati perairan Middle Rocks, kini bebas menangkap ikan di kawasan tersebut berikutan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini semalam mengekalkan kedaulatan bentuk maritim itu kepada Malaysia.

Lebih daripada itu, Singapura yang sebelum ini bertindak mengawal perairan di Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge sejak tahun 1986 tidak lagi mempunyai kebebasan untuk berbuat demikian kerana bidang kuasa mereka kini terhad kepada Pulau Batu Putih semata-mata.

Ejen Bersama, Datuk Noor Farida Ariffin berkata, biarpun keputusan menyerahkan kedaulatan Batu Putih yang diakui oleh ICJ dari sudut sejarah adalah milik Kesultanan Johor (Malaysia) kepada Singapura dilihat oleh banyak pihak sebagai mendukacitakan tetapi hakikatnya, kedudukan nelayan-nelayan adalah lebih bebas berbanding sebelum ini.

Malah, katanya, Malaysia kini bebas dan mempunyai kuasa untuk melakukan pelbagai kegiatan di Middle Rocks dan perairan sekitarnya termasuk menempatkan kapal tentera laut, menjalankan kajian meteorologi dan mengawal ruang udara di kawasan tersebut – kesemuanya tidak dapat dilakukan sebelum ini.

”Keadaan akan menjadi lebih berfaedah apabila kita dengan penuh yakin dapat mengekalkan kedaulatan ke atas South Ledge berikutan kedudukannya yang begitu hampir dengan Middle Rocks.

”Berdasarkan pengamatan dan kajian terhadap kedudukan South Ledge, Malaysia amat yakin kita akan memperoleh satu lagi bentuk maritim menjadikan aktiviti kita di perairan tersebut lebih luas,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, malam tadi.

ICJ dalam keputusannya semalam memutuskan bahawa kedudukan South Ledge hendaklah ditentukan menerusi rundingan antara Malaysia dan Singapura bagi menentukan di perairan negara mana ia terletak.

Sejak 1986 (selepas timbulnya pertikaian ke atas Pulau Batu Putih), Singapura telah menghantar kapal tentera lautnya ke pulau tersebut dan menjalankan rondaan tetap 24 jam di perairan ketiga-tiga bentuk maritim tersebut.

Keadaan itu telah menimbulkan ketegangan dan bahaya. Nelayan-nelayan Johor telah dihalau oleh pasukan peronda laut Singapura daripada perairan tradisional serta tempat pelindungan mereka di sekitar Pulau Batu Putih.

Kapal peronda Malaysia serta para pegawai-pegawainya juga tidak boleh mendekati bukan sahaja Pulau Batu Putih malah Middle Rocks dan South Ledge tanpa dihalang secara fizikal oleh kapal peronda Singapura.

Menurut Noor Farida, keputusan ICJ semalam juga sekali gus mengingatkan Singapura bahawa mereka kini tidak lagi boleh bertindak sewenang-wenangnya di Pulau Batu Putih dan kawasan perairannya kerana kedudukan pulau itu yang terlalu hampir dengan Middle Rocks menuntut republik itu supaya lebih berhati-hati.

Tindak-tanduk seperti pemasangan radar di pulau berkenaan, jelas beliau, kini tidak lagi boleh dilakukan sesuka hati kerana ia perlu mengambil kira ‘jiran’ yang memiliki kedaulatan ke atas Middle Rocks.

Katanya, kesan keputusan ICJ itu mesti difahami oleh semua rakyat Malaysia terutamanya golongan nelayan bahawa ia bukanlah sesuatu yang merugikan biarpun Pulau Batu Putih terlepas kepada Singapura, malah kedudukan negara dari banyak aspek adalah lebih baik berbanding sebelum ini.

Peluang

Beliau turut menarik perhatian keputusan ICJ yang menurutnya menamatkan kebimbangan Duta Tugas-Tugas Khas yang juga Ejen Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad mengenai peluang wujudnya kuasa maritim baru di Selat Melaka dan Selat Singapura, apabila Middle Rocks kekal milik Malaysia.

Selain itu, katanya, penyerahan hanya Pulau Batu Putih kepada Singapura ternyata mengekalkan status quo republik itu terhadap pulau berkenaan selain memelihara segala perjanjian berhubung urusan persempadanan antara Malaysia dengan Indonesia.

“Begitu juga dengan cita-cita Singapura seperti yang diserlahkan dalam hujah bertulisnya untuk melakukan penambakan di sekitar Pulau Batu Putih ternyata tidak kesampaian kerana Middle Rocks kekal milik Malaysia begitu juga South Ledge yang pastinya akan bersama kita,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Institut Tamadun dan Alam Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Nik Annuar Nik Mahmud yang bertindak sebagai salah seorang penyelidik bagi kes tuntutan bertindih itu berkata, keputusan ICJ semalam mesti dilihat dari sudut yang amat luas dan tidak mengehadkan kepada kehilangan Pulau Batu Putih semata-mata.

Katanya, keputusan majoriti 15-1 bagi Middle Rocks amat jelas menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kedaulatan ke atas bentuk maritim itu selain ICJ sendiri mengesahkan hak milik asal Pulau Batu Putih adalah di bawah kesultanan Johor, cuma kecuaian negara ialah tidak peduli apa yang dilakukan oleh British kemudiannya Singapura ke atas pulau tersebut.

‘‘Sejak tahun 1844 hingga 1953 Johor tidak pernah ambil tahu apa yang dilakukan oleh British dan Singapura ke atas pulau tersebut selain daripada menyelenggara Rumah Api Horsburgh. Tiada bantahan terhadap aktiviti yang menunjukkan Singapura berkuasa ke atas pulau tersebut, sebab itu kita kehilangan Pulau Batu Putih,” katanya.

Kecuaian itu, katanya, diburukkan lagi dengan surat Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang berbunyi ‘Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Putih’ yang sekali gus diputuskan oleh ICJ sebagai mengesahkan bahawa kedaulatan Pulau Batu Putih yang merupakan hak kesultanan Johor dipindahkan kepada Singapura.

Bagaimanapun, jelas beliau, keputusan ICJ mengekalkan kedaulatan Middle Rocks kepada Malaysia mempunyai rahmat yang amat besar kerana ia memberi kuasa kepada negara untuk mengimbangi kehadiran Singapura di Pulau Batu Putih.

– Utusan

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: