Archive for the tazkirah Category

PEMBOHONGAN DAN MUNAFIQ

Posted in tazkirah on June 26, 2008 by ghaffari0305

Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah mungkin seorang mukmin bersifat penakut?” Beliau menjawab, “Ya, mungkin.” Baginda SAW. ditanya lagi, “Apakah mungkin ia bersifat kikir?” Nabi SAW. menjawab, “Ya, mungkin.” Baginda ditanya lagi, “Apakah mungkin seorang mukmin bersifat pembohong?” Nabi SAW. menjawab, “Tidak, tidak mungkin.” (Hadith Riwayat Ahmad)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad bin Muhammad bin Ahmad, dari Shafwan bin Salim diceritakan, suatu ketika Rasulullah Saw. ditanya, “Ya Rasulullah, apakah mungkin seorang mukmin itu kikir?” Jawab Rasulullah “Ya., mungkin,”, “Apakah mungkin seorang mukmin itu penakut?” Jawab Rasulullah “Ya, mungkin.” “Apakah mungkin seorang mukmin itu pembohong?” Jawab Rasulullah “Tidak!

Sedutan hadith di atas memberi gambaran bahawa kebarangkalian ada di antara orang-orang mukmin yang bersifat penakut dan kedekut. Namun Rasulullah SAW. mengatakan bahawa seseorang mukmin tidak sama sekali akan bersikap pembohong.

Akhir-akhir ini rakyat Malaysia telah ‘dianugerahkan’ dengan siri-siri pembohongan pemimpin utama negara.

Sebelum PRU12, Perdana Menteri ditanya para wartawan adakah esok akan berlaku pembubaran Parlimen? Maka dijawab oleh PM tidak sama sekali. Keesokannya Parlimen dibubarkan!

Timbalan Perdana Menteri semasa kempen PRU12 mengatakan bahawa kerajaan sama sekali tidak akan menaikkan harga petrol dan diesel walaupun kenaikan itu berlaku di seluruh dunia dalam masa terdekat. Akhirnya kita saksikan hari ini rakyat dihadiahkan dengan kenaikan menggila daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter petrol dan daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter diesel.

Beberapa hari sebelum kenaikan bahan bakar ini, Dato Shahrir Samad selaku Menteri Hal Ehwal Pengguna menyatakan kenaikan petrol dan diesel dijangka berlaku pada bulan Ogos ini. Dua hari selepas kenyataan dibuat, petrol dan diesel telah dinaikkan tanpa diberi peluang untuk rakyat membuat persediaan.

Tiga situasi di atas membuktikan ciri-ciri munafik pemimpin utama negara. Mereka seolah-olah melakukan sesuatu yang di luar kesedaran. Keputusan-keputusan yang dibuat boleh diibaratkan sebagai ‘mengigau’ kerana jelas tidak konsisten dengan sensitiviti rakyat bawahan.

Seumpama kita menyaksikan larangan penjualan bahan bakar kepada kenderaan asing. Selang beberapa hari larangan itu ditarik balik. Sungguh cepat dan sungguh tidak konsisten sesuatu keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat dibuat seolah-olah mereka sedang menguruskan sebuah keluarga di rumah!- tajdid_

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “. (Riwayat Ahmad).

Hadis Abdullah bin Amru r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas. (Riwayat Muslim)

More on ciri-ciri munafik:

CIRI-CIRI MUNAFIK SEJATI

1. DUSTA

Hadith Rasulullah yang diriwayatkan Imam Ahmad Musnad dengan sanad Jayid: “Celaka baginya, celaka baginya, celaka baginya. Iaitu seseorang yang berdusta agar orang-orang tertawa.” Di dalam kitab Sahihain (Sahih Bukhari dan Muslim), Rasulullah SAW. berSabda: “Tanda orang munafik ada 3, salah satunya adalah jika berbicara dia dusta.”

2. KHIANAT

Sabda Rasulullah SAW.: “Dan apabila berjanji, dia berkhianat.” Barangsiapa memberikan janji kepada seseorang, atau kepada isterinya, anaknya, sahabatnya, atau kepada seseorang dengan mudah kemudian dia mengkhianati janji tersebut tanpa ada sebab uzur syar’iyy maka telah hinggap pada dirinya salah satu tanda kemunafikan.

3. FUJUR (BURUK) DALAM PERTIKAIAN

Sabda Rasulullah SAW.: “Dan apabila bertengkar (bertikai), dia melampau”

4. INGKAR JANJI

Sabda Rasulullah SAW.: “Tanda orang munafik ada 3: jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia ingkar, dan jika dipercaya (diberi amanat) dia berkhianat.” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

5. MALAS BERIBADAH

Firman Allah SWT.: “…Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas…” (an-Nisa’: 142) Jika orang munafik pergi ke masjid / surau, dia menyeret kakinya seakan-akan terbelenggu rantai. Oleh kerana itu, ketika sampai di dalam masjid / surau dia memilih duduk di saff yang paling akhir. Dia tidak mengetahui apa yang dibaca imam dalam solat, apalagi untuk menyemak dan menghayatinya.

6. RIYA’

Di hadapan manusia dia solat dengan khusyuk tetapi ketika seorang diri, dia mempercepatkan solatnya. apabila bersama orang lain dalam suatu majlis, dia tampak zuhud dan berakhlak baik, demikian juga pembicaraannya. Namun, jika dia seorang diri, dia akan melanggar hal-hal yang diharamkan Allah SWT..

7. SEDIKIT BERZIKIR

Firman Allah SWT.: “…Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (dengan solat) di hadapan manusia. dan tidaklah mereka menyebut Allah SWT. kecuali sedikit sekali. (an-Nisa’: 142)

8. MEMPERCEPAT SOLAT

Mereka (orang-orang munafik) adalah orang yang mempercepatkan solat tanpa ada rasa khusyuk sedikit pun. Tidak ada ketenangan dalam mengerjakannya, dan hanya sedikit mengingat Allah SWT. di dalamnya. Fikiran dan hatinya tidak menyatu. Dia tidak menghadirkan keagungan, kehebatan, dan kebesaran Allah SWT. dalam solatnya. Hadith Nabi SAW.: “Itulah solat orang munafik…lalu mempercepat empat rakaat (solatnya)”

9. MENCELA ORANG-ORANG YANG TAAT DAN SOLEH

Mereka memperlekehkan orang-orang yang taat dengan ungkapan yang mengandung cemuhan dan celaan. Oleh kerananya, dalam setiap majlis pertemuan sering kali kita temui orang munafik yang hanya membincangkan sepak terajang orang-orang soleh dan orang-orang yang konsisten terhadap al-Quran dan as-Sunnah. Baginya seakan-akan tidak ada yang lebih penting dan menarik selain memperolok-olok orang-orang yang taat kepada Allah SWT..

10. MEMPEROLOK-OLOK AL-QURAN, AS-SUNNAH, DAN RASULULLAH SAW.

Termasuk dalam kategori al-Istihzaa’ (berolok-olok) adalah memperolok-olok hal-hal yang disunnah Rasulullah SAW. dan amalan-amalan lainnya. Orang yang suka memperolok-olok dengan sengaja hal-hal seperti itu, jatuh kafir. Firman Allah SWT.: “…Katakanlah: ‘Apakah dengan Allah SWT., Ayat-Ayat-Nya, dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?’ Tidak usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman…” (at-Taubah: 65-66)

11. BERSUMPAH PALSU

Firman Allah SWT.: “Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai…” (al-Munafiqun: 2, al-Mujadilah: 16) Jika seseorang menanyakan kepada orang munafik tentang sesuatu, dia langsung bersumpah. Apa yang diucapkan orang munafik semata-mata untuk menutupi kedustaannya. Dia selalu mengumpat dan memfitnah orang lain. Maka jika seseorang itu menegurnya, dia segera mengelak dengan sumpahnya: “Demi Allah, sebenarnya kamu adalah orang yang paling aku sukai. Demi Allah, sesungguhnya kamu adalah sahabatku”.

12. ENGGAN BERINFAK

Orang-orang munafik memang selalu menghindari hal-hal yang menuntut pengorbanan, baik berupa harta apatah lagi jiwa. Apabila menjumpai mereka berinfak, bersedekah, dan mendermakan hartanya, mereka lakukan kerana riya’ dan sum’ah. Mereka enggan bersedekah, kerana pada hakikatnya, mereka tidak menghendaki pengorbanan harta, apalagi jiwa.

13. TIDAK MENGHIRAUKAN NASIB KAUM MUSLIMIN

Mereka selalu menciptakan kelemahan-kelemahan dalam barisan muslimin. Inilah yang disebut at-Takhdzil. iaitu, sikap meremehkan, menakut-nakuti, dan membiarkan kaum muslimin. Orang munafik berpendapat bahawa orang-orang kafir lebih kuat daripada kaum muslimin.

14. SUKA MENYEBARKAN KHABAR DUSTA

Orang munafik senang memperbesar peristiwa / kejadian. Jika ada orang yang tergelincir lisannya secara tidak sengaja, maka datanglah si munafik dan memperbesarkannya dalam majlis-majlis pertemuan. “Apa kalian tidak mendengar apa yang telah dikatakan si fulan itu?” Lalu, dia pun menirukan kesalahan tersebut. Padahal, dia sendiri mengetahui bahawa orang itu mempunyai banyak kebaikan dan keutamaan, akan tetapi si munafik itu tidak akan mahu mengungkapkannya kepada masyarakat.

15. MENGINGKARI TAKDIR

Orang munafik selalu membantah dan tidak redha dengan takdir Allah SWT.. Oleh kerananya, apabila ditimpa musibah, dia mengatakan: “Bagaimana ini. Seandainya saya berbuat begini, niscaya akan menjadi begini.” Dia pun selalu mengeluh kepada sesama manusia. Sungguh, dia telah mengkufuri dan mengingkari qadha dan takdir.

16. MENCACI MAKI KEHORMATAN ORANG-ORANG SOLEH

Apabila orang munafik membelakangi orang-orang soleh, dia akan mencaci maki, menjelek-jelekkan, mengumpat, dan menjatuhkan kehormatan mereka di majlis-majlis pertemuan. Firman Allah SWT.: “…mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka bakhil untuk berbuat kebaikan…” (al-Ahzab: 19)

17. SERING MENINGGALKAN SOLAT BERJAMAAH

Apabila seseorang itu segar, kuat, mempunyai waktu luang, dan tidak memiliki uzur syar’iyy, namun tidak mahu mendatangi masjid / surau ketika mendengar panggilan azan, maka saksikanlah dia sebagai orang munafik.

18. MEMBUAT KEROSAKAN DI MUKA BUMI DENGAN DALIH MENGADAKAN PERBAIKAN

Firman Allah SWT.: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan kebaikan.’ Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar.” (al-Baqarah: 11-12)

19. TIDAK ADA KESESUAIAN ANTARA ZAHIR DENGAN BATIN

Secara Zahir mereka membenarkan bahawa Nabi Muhammad SAW. adalah Rasul Allah, tetapi di dalam hati mereka, Allah telah mendustakan kesaksian mereka. Sesungguhnya, kesaksian yang tampak benar secara Zahir itulah yang menyebabkan mereka masuk ke dalam neraka. Penampilan zahirnya bagus dan mempersona, tetapi di dalam batinnya terselubung niat busuk dan menghancurkan. Di luar dia menampakkan kekhusyukan, sedangkan di dalam hatinya main-main.

20. TAKUT TERHADAP KEJADIAN APA PUN

Orang-orang munafik selalu diliputi rasa takut. Jiwanya selalu bergoncang, keinginannya hanya selalu mendambakan kehidupan yang tenang dan damai tanpa disibukkan oleh persoalan-persoalan hidup apa pun. Dia selalu berharap: “Tinggalkan dan biarkanlah kami dengan keadaan kami ini, semoga Allah memberikan nikmat ini kepada kami. Kami tidak ingin keadaan kami berubah.” Padahal, keadaannya tidaklah lebih baik.

21. BERUZUR DENGAN DALIH DUSTA

Firman Allah SWT.: “Di antara mereka ada orang yang berkata: ‘Berilah saya izin (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus ke dalam fitnah.’ Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah. Dan sesungguhnya neraka jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir.” (at-Taubah: 49)

22. MENYURUH KEMUNGKARAN DAN MENCEGAH KEMAKRUFAN

Mereka (orang munafik) menginginkan agar perbuatan keji tersiar di kalangan orang-orang beriman. Mereka menggembar-gemburkan tentang kemerdekaan wanita, persamaan hak, penanggalan hijab / jilbab. Mereka juga berusaha memasyarakatkan nyanyian dan konsert, menyebarkan majalah-majalah porno (atau semiporno) dan narkotik.

23. BAKHIL

Orang-orang munafik sangat bakhil dalam masalah-masalah kebajikan. Mereka menggenggam tangan mereka dan tidak mahu bersedekah atau menginfakkan sebahagian harta mereka untuk kebaikan, padahal mereka orang yang mampu dan berkecukupan.

24. LUPA KEPADA ALLAH SWT.

Segala sesuatu selalu mereka ingat, kecuali Allah SWT.. Oleh sebab itu, mereka sentiasa ingat kepada keluarganya, anak-anaknya, nyanyian-nyanyian, berbagai keinginan, dan segala sesuatu yang berhubungan dengan duniawi. Dalam fikiran dan batin mereka tidak pernah terlintas untuk mengingat (zikir) Allah SWT., kecuali sebagai tipuan semata-mata.

25. MENDUSTAKAN JANJI ALLAH SWT. DAN RASUL-NYA

Firman Allah SWT.: “Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata: ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami selain tipu daya.” (al-Ahzab: 12)

26. LEBIH MEMPERHATIKAN ZAHIR, MENGABAIKAN BATIN

Orang munafik lebih mementingkan zahir dengan mengabaikan yang batin, tidak menegakkan solat, tidak merasa diawasi Allah SWT., dan tidak mengenal zikir… Pada zahirnya, pakaian mereka demikian bagus menarik, tetapi batin mereka kosong, rosak dan lain-lain.

27. SOMBONG DALAM BERBICARA

Orang-orang munafik selalu sombong dan angkuh dalam berbicara. Mereka banyak cakap dan suka memfasih-fasihkan ucapan. Setiap kali berbicara, mereka akan selalu mengawalinya dengan bila ungkapan menakjubkan yang meyakinkan agar tampak seperti orang hebat, mulia, berwawasan luas, mengerti, berakal, dan berpendidikan. Padahal, pada hakikatnya dia tidak memiliki kemampuan apa pun. Sama sekali tidak memiliki ilmu bahkan lagi terserlah kemunafikannnya.

28. TIDAK MEMAHAMI AD-DIN

Antara “keistimewaan” orang-orang munafik adalah: mereka sama sekali tidak memahami masalah-masalah agama. Dia tahu bagaimana mengenderai kereta dan mengerti perihal mesinnya. Dia juga mengetahui hal-hal remeh-temeh dan pengetahuan-pengetahuan yang tidak pernah memberi manfaat kepadanya meski juga tidak mendatangkan mudharat baginya. Akan tetapi, apabila menghadapi untuk berdialog (bertanya tentang persoalan-persoalan ad-Din (Islam)), dia sama sekali tidak boleh menjawab.

29. BERSEMBUNYI DARI MANUSIA DAN MENENTANG ALLAH SWT. DENGAN DOSA

Orang munafik menganggap ringan perkara-perkara terhadap Allah SWT., menentang-Nya dengan melakukan berbagai kemungkaran dan kemaksiatan secara sembunyi-sembunyi. Akan tetapi, ketika dia berada di tengah-tengah manusia dia menunjukkan sebaliknya: berpura-pura taat. Firman Allah SWT.: “Mereka bersembunyi dari manusia, tetapi mereka tidak bersembunyi dari Allah, padahal Allah beserta mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang Allah tidak redhai…” (an-Nisa’: 108)

30. SENANG DENGAN MUSIBAH YANG MENIMPA ORANG-ORANG BERIMAN DAN DENGKI TERHADAP KEBAHAGIAN MEREKA

Orang munafik apabila mendengar berita bahawa seorang ulama yang soleh tertimpa suatu musibah, dia pun menyebarluaskan berita duka itu kepada masyarakat sambil menampakkan kesedihannya dan berkata: “Hanya Allahlah tempat memohon pertolongan. Kami telah mendengar bahawa si fulan telah tertimpa musibah begini dan begitu… semoga Allah memberi kesabaran kepada kami dan beliau.” Padahal, di dalam hatinya dia merasa senang dan bangga akan musibah itu.

Advertisements

PETROL VS AQIDAH

Posted in tazkirah on June 25, 2008 by ghaffari0305

Pengumuman kenaikan harga petrol semalam disambut ‘riang’ oleh rakyat Malaysia sehingga stesen-stesen minyak di seluruh negara ‘berpesta’ sakan. Kenaikan ini pada mulanya di umumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad bahawa berkuatkuasa Ogos nanti namun indah khabar dari rupa. Kenaikan sebanyak 78 sen kepada RM2.70 seliter menggambarkan situasi yang sangat membimbangkan ramai pihak terutama individu yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kekhuatiran kenaikan harga barang juga menjadi perdebatan yang hangat di meja kedai kopi hingga ke meja makan dapur. Rakyat semakin resah, paniknya semakin bertambah. Dalam masa yang sama juga petrol sudah ‘membakar’ aqidah.

Membakar Aqidah

Selepas pengumuman tersebut, dunia seolah-olah mengalami ‘kiamat’ kecil. Stesen-stesen minyak sesak sejak awal petang lagi hingga lewat tengah malam. Solat maghrib terlepas begitu sahaja akibat kesesakan yang dialami sehingga ada beberapa individu yang bergaduh kerana berlanggar sesama sendiri. Cacian juga hinaan dilontarkan kepada kereta-kereta yang memotong barisan tanpa mengira bangsa atau agama. Setibanya di rumah lewat malam dalam keadaan yang sangat memenatkan, solat isyak tergadai begitu sahaja akibat panggilan bantal dan tilam lebih enak berbanding panggilan Ilahi untuk mengadap-Nya.

Umat Islam terutamanya sanggup mengeluarkan kenyataan yang berbaur syirik kecil;

Matilah aku harga minyak sudah naik. Kalau tak isi malam ni akulah manusia paling rugi di dunia

Ayah di rumah pening memikirkan sumber pendapatan dan kos sara hidup yang semakin meningkat sehingga menolak keyakinan terhadap REZEKI dan KEBERKATAN kurniaan Allah s.w.t kepada sekalian hamba-Nya. Ibu di dapur sebak lalu menangis mengenangkan kesulitan yang bakal dihadapi dalam membesarkan anak-anak sehingga Kekuasaan dan Keesaan Allah s.w.t diketepikan secara perlahan-lahan tanpa sedar.

Masyarakat semakin kurang solat berjemaah gara-gara masjid jauh dari rumah dan penjimatan minyak diutamakan kepada pengunaan untuk mencari nafkah di luar. Jika dahulu setiap kali hujung minggu ziarah saudara-mara menjadi rutin, tetapi alasan kenaikan harga petrol menjadi penghalang utama mengikat silaturrahim sesama saudara Islam. Ceramah-ceramah agama makin berkurang hadirinnya akibat langkah penjimatan yang dilakukan oleh masyarakat sampai ke tahap yang membimbangkan.

Peniaga-peniaga menaikkan harga barang dengan sewenangnya walaupun menerima subsidi sehingga hilang keimanan mereka kepada Allah s.w.t Yang Maha Melihat;

Tak siapa tahu aku menipu dengan naikkan harga. Tak siapa nampak aku simpan stok untuk tinggikan lagi harga

Remaja-remaja rempit yang berkeliaran kian giat merompak dan meragut untuk ‘menyara’ tunggangan mereka yang bernama 125Z dan RXZ. Jenayah seksual juga semakin meningkat akibat kos kenduri dan pernikahan dalam masyarakat Melayu terutamanya menghambat pasangan yang ingin berumahtangga untuk menyediakan sekurang-kurangnya puluhan ribu ringgit. Keinginan yang menggila untuk menyediakan pelamin yang gah, kenduri yang besar, persalinan pengantin yang banyak, upah jurugambar, dan sebagainya menjerut leher mereka sendiri sehingga menolak persoalan KEBERKATAN dalam pernikahan itu sendiri. Tidak hairanlah muda-mudi hari ini memilih jalan yang paling mudah untuk mengisi ‘keperluan’ mereka sebagai manusia yang sudah lanjut usia dengan menyewa hotel murah bersama pasangan tanpa mengeluarkan belanja yang besar. Malah lebih teruk lagi ada yang menculik dan merogol sesiapa sahaja yang berkesempatan.

Bagi keluarga yang sudah biasa dengan hidangan yang sedap serta mahal harganya mula resah akibat kenaikan harga barangan yang melambung. Hidangan yang dihadkan kepada lauk-pauk yang murah mengakibatkan anak-anak mula merajuk. Isteri di dapur pula sehari semalam berleter kepada si suami untuk mencari wang yang lebih untuk menyara keluarga. Suami yang kepenatan tertekan dan kadang-kala boleh menjurus ke arah membunuh diri. Struktur sosial keluarga kian terhakis satu demi satu.

Kenderaan di halaman rumah yang memerlukan petrol yang mencukupi untuk digerakkan menjadi harta utama yang dipandang oleh masyarakat. Hanya kerana ingin bergaya, kereta mewah dan menggunakan petrol yang banyak sanggup dibeli semata-mata memenuhi pandangan masyarakat terhadap KEBAHAGIAAN dan KEJAYAAN yang salah takrifannya.

Situasi ini menampakkan kepada kita kerakusan manusia dalam mengejar kepentingan sendiri tanpa memikirkan soal hidup orang lain.

Masyarakat yang longgar aqidah mereka kian menjunam ke lembah syirik secara perlahan-lahan. Benar bukan? Petrol ‘membakar’ aqidah.

Bertuhankan Dunia

Situasi ini berlaku apabila manusia itu sendiri ‘menyembah’ dunia serta menolak kebenaran Islam yang dibawa melalui al-Quran dan al-Sunnah. Persoalan gaya hidup mewah menjadi kegilaan yang sangat menggerunkan sehingga ada yang sanggup menggadaikan maruah dan kehormatan untuk mencapai kesenangan hidup. Lambakan iklan-iklan yang menjaja kemodenan yang berteraskan nafsu dikayakan dalam media massa serta disuntik ke dalam pemikiran rakyat. Maka, masyarakat selesa berada dalam keadaan mewah ini tanpa memikirkan persoalan nasib orang lain yang tertindas dan hidup dalam serba kekurangan.

Kenderaan mewah yang menimbulkan kemegahan masyarakat selama ini menjadi ukuran kekayaan seseorang di mata masyarakat. Malah hampir semua perniagaan langsung dan Multi Level Marketing (MLM) menggambarkan usahawan yang berjaya mesti memiliki kerta mewah sebagai kayu ukur kejayaan hidup seseorang. Adakah benar dengan memiliki kereta mewah seseorang itu dianggap berjaya? Kejayaan dalam konteks kebendaan yang dilihat ternyata merosakkan sistem masyarakat. Masyarakat sudah menodai Rukun Negara yang pertama tanpa disedari; Kepercayaan Kepada Tuhan.

Persoalan gaya hidup yang terlalu mementingkan kemewahan dan keselesaan menampakkan kepincangan mentaliti masyarakat, tidak terkecuali kepada umat Islam. Saranan gerakan sivil serta pertubuhan-pertubuh an bukan kerajaan selama ini yang tidak diambil endah kian difokuskan sebagai jalan keluar segala permasalahan yang dihadapi saban hari. Dahulunya pandangan golongan ini dianggap sebagai ‘kurang waras’ oleh masyarakat akibat racun pihak media massa yang menusuk setiap urat nadi rakyat.

Memadam Kebakaran

Saranan YAB Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada rakyat untuk menukar gaya hidup dilihat sebagai “meludah ke langit”. Sebagai seorang pemimpin yang beragama Islam, riwayat hidup saidatina Khadijah wajar dijadikan sebagai iktibar dan pedoman kepada seluruh umat Islam. Apabila musyrikin Mekah memboikot penganut Islam ketika itu, saidatina Khadijah tampil dengan menggunakan kesemua hartanya sebagai penyelamat kepada kesengsaraan yang dialami umat Islam sehingga beliau jatuh miskin. Saidina Abu Bakar pula sanggup menghabiskan semua hartanya dalam membantu penderitaan umat Islam sehingga beliau berkata:

“Hanya Allah s.w.t dan Rasul-Nya sahaja yang aku tinggalkan kepada isteri dan anak-anakku

Tauladan yang mulia ini sepatutnya dijadikan ikutan setiap umat Islam yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t dan percaya kepada pertolongan- Nya dalam setiap kesulitan yang dihadapi. Jika umat Islam memahami syari’at Islam serta mengambil tindakan bersama untuk menangani segala permasalahan yang dihadapi berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, tidak ada yang mustahil dengan pertolongan dari-Nya.

Majoriti menteri dan ahli parlimen beragama Islam. Malah kekayaan golongan ini mencapai ke suatu tahap yang sangat tinggi sama ada melalui pengisytiharan harta secara terbuka mahupun yang disembunyikan. Tidak mustahil dengan ketokohan golongan ini mengambil iktibar keperibadian saidina Abu Bakar al-Siddiq serta saidatina Khadijah sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi krisis harga petrol yang melambung. Sangat sukar tetapi tidak mustahil. Mengapa? Penanaman aqidah yang sahih dalam diri masyarakat di Malaysia sedikit longgar sejak kecil akibat kepincangan sistem pendidikan namun keyakinan kepada ganjaran Allah s.w.t wajib menjadi pegangan utama. Peringatan ini harus diulangi saban hari.

Firman Allah s.w.t dalam Kitab-Nya:

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)

[QS al-Rūm 30:41]

Mari kita sama-sama memikirkan kembali kerosakan yang kita lakukan di dunia sama ada bersifat zahiriah mahupun batiniah. Semoga Allah s.w.t menghimpunkan kita dalam golongan yang bersyukur dengan apa yang ada dan beriman kepada-Nya dengan sebenar-benar iman. Astaghfirullah.

insani…

Posted in tazkirah on May 14, 2008 by ghaffari0305

Muliakanlah rakanmu dengan kemuliaan yang mampu engkau lakukannya secara berterusan. Jika tidak maka kemuliaanmu itu akan membawa kepada perkara yang memutuskan persahabatan. -Imam Abdullah bin Alwi al-Haddad al-Husaini

Kehebatan Allah…

Posted in tazkirah on May 13, 2008 by ghaffari0305

Hai anakku! Sesungguhnya dunia ini umpama lautan yang dalam. Ramai manusia yang telah tenggelam dalamnya. “Oleh itu, jadikanlah ketakwaan kepada Allah itu sebagai kapalmu, keimanan itu sebagai muatannya dan tawakal itu pula sebagai layarnya. Mudah-mudahan, engkau akan terselamat. Aku tidak sanggup melihatmu melainkan dalam keadaan yang selamat.” – mutiara kata Luqmanul Haqim

ittakullah…

Posted in tazkirah with tags on May 13, 2008 by ghaffari0305

Sesungguhnya barangsiapa mempelajari al-Quran,ia amat MULIA di mata manusia.. barangsiapa mempelajari Hadis, KUAT HUJAHNYA.. barangsiapa mempelajari nahu, HEBAT.. barangsiapa mempelajari B.Arab, HALUS PEKERTINYA.. barangsiapa mempeljari Hisab, BANYAK PENDAPATNYA… barangsiapa memplajari Feqah, MULIA KEDUDUKANNYA… barangsiapa tdk menjga dirinya.. Ilmunya tidak memberi manfaat kpdnya, asas terpenting bg keseluruhan yg demikian itu adalah BERTAQWA KPD ALLAH…

Posted in tazkirah on May 12, 2008 by ghaffari0305

“Tiada suatu amalan pun yang mendekatkan ke syurga kecuali Aku telah perintahkan kalian dengannya dan tiada suatu amalan pun yang mendekatkan ke neraka kecuali Aku telah larang kalian darinya. Tidak akan lambat seorang pun dari kalian dari rezekinya. Sesungguhnya Jibril telah menyampaikan pada hatiku bahwa salah seorang dari kalian tidak akan keluar dari dunia (meninggal dunia) sampai disempurnakan rezekinya. Maka bertakwalah kepada Allah wahai manusia dan perelokkanlah dalam mencari rezeki. Maka apabila salah seorang di antara kalian merasa bahwa rezekinya lambat maka janganlah mencarinya dengan bermaksiat kepada Allah kerana sesungguhnya kurniaan Allah tidak akan didapat dengan melakukan maksiat.” (Shahih, HR. Al-Hakim no.2136 dari Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu)